07 Oktober 2009

BAWALAH BUKU CATATAN


SEMASA Perhimpunan Mingguan, Ahad, 27 September 2009 lalu, Pengetua Kanan, Encik Abdul Rahman bin Husin menyarankan agar pelajar mempunyai buku catatan dan membawa buku itu ketika menghadiri perhimpunan. Menurutnya, buku catatan sangat penting dibawa ke majlis perhimpunan kerana banyak maklumat dan pandangan dikemukakan oleh guru ketika itu. Hal ini demikian, menurut beliau, tanpa mencatat maklumat tersebut, kita mungkin terlupa dan tidak dapat dijadikan rujukan.

.
Saranan tersebut wajar diberikan perhatian. Buku catatan harus menjadi rakan akrab kita ke mana-mana sahaja kita pergi. Dengan adanya buku tersebut, kita tidak terkial-kial mencari cebisan kertas untuk mencatat sesuatu yang mustahak yang tiba-tiba kita dapati, seperti nombor telefon baharu rakan kita, alamat, waktu, dan sebagainya.
.
Budaya mencatat memberi kita banyak faedah. Tanpa catatan, sesuatu maklumat atau peristiwa tidak akan kekal lama dalam perhatian kita, dan tidak diketahui oleh orang terkemudian. Kita dapati, orang Barat dan orang dari negara China pada zaman dahulu, apabila mereka mengembara, mereka tidak lupa untuk mencatat hal yang mereka lihat dan alami. Catatan mereka kemudiannya menjadi bahan rujukan atau jurnal yang sangat berguna pada kemudian hari. Hal mengenai Asia Tenggara, termasuk hal negara kita sendiri, umpamanya, diketahui melalui beberapa buah jurnal atau buku catatan daripada orang-orang berkenaan. I-Tsing, umpamanya, mencatat hal bahasa yang digunakan oleh orang-orang di Nusantara pada abad ke-6 Masihi. Catatannya itu kini digunakan untuk mengkaji bahasa dan nama awal negeri dan pulau di Nusantara. Agaknya tentulah kita tidak mengetahui sejarah nenek moyang kita sekiranya tiada catatan yang ditinggalkan oleh golongan pengembara tersebut.
.
Pelajar yang baik dalam karangan lazimnya terdiri daripada pelajar yang suka menulis catatan. Dengan menulis catatan harian atau diari, misalnya, membolehkan pelajar menguasai cara memperluas ayat dan maklumat. Penulis kreatif yang terkenal pada hari ini juga kebanyakannya orang yang suka menulis catatan harian, malahan catatan itu menjadi bahan rujukan yang amat berguna bagi mereka untuk menggarap karya.

.

Tiada ulasan: