03 Disember 2009

BANJIR, OH BANJIR!

.
MUSIM tengkujuh tahun kesembilan pada alaf baharu mencatat sejarah yang dapat memberi kenangan tertentu kepada warga SMKSO apabila banjir kilat terjadi dua kali dalam masa dua minggu.
.
.
Banjir I (24.11.2009)
.
Banjir yang pertama ini menenggelamkan seluruh kawasan hadapan pintu masuk utama sekolah, tapak letak kereta di hadapan Surau Al-Ikhlas, dan tapak perhimpunan mingguan yang terletak di antara Blok Tingkatan 3 dan Blok Tingkatan 6. Air turut bergenang di sekitar blok Program Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PKIBP) dan di hadapa Pejabat Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah. Air di tapak perhimpunan mingguan menenggelami lantai tingkat bawah bangunan Tingkatan 3 dan Tingkatan 6 lebih daripada 30 sentimeter. Sekitar Dewan Warisan dan Blok Kemahiran Hidup juga digenangi air.
.
Limpahan air ini terjadi berikutan hujan lebat sepanjang hari mulai 22.11.2009 (Jumaat) hingga 23.11.2009 (Isnin).
.
Akibat takungan air ini, warga sekolah, khususnya kakitangan sokongan dan kakitangan swasta yang bertugas, calon SPM dan STPM dan guru pengawas kedua-dua peperiksaan itu, serta orang awam yang ingin berurusan di sekolah ini terpaksa menggunakan pintu belakang. Pusat peperiksaan STPM bagi mata pelajaran Sejarah 1 yang terletak di tingkat 2 Blok Tingkatan 6 terpaksa dipindahkan ke bilik darjah di Blok PSS/Koperasi. Calon SPM bagi pusat yang terletak di Blok Tingkatan 3 meneruskan peperiksaan Pendidikan Islam 2 di tingkat 1 blok itu tetapi terpaksa menggunakan titi yang dibuat daripada susunan kerusi kayu untuk membolehkan mereka naik dan turun di bangunan itu.
.
Keadaan telah pulih seperti biasa menjelang hari Khamis (26.11.2009).
.
.
.
Banjir II (1.12.2009)
.
Hujan yang seperti berehat sepanjang hari 26.11.2009 hingga 29.11.2009 (Sabtu), turun dengan lebih lebat mulai malam 30.11.2009 (Isnin). Dengan itu, mulai 1.12.2009 (Selasa), banjir bermula kembali. Hujan yang terus turun sepanjang waktu menyebabkan air semakin memenuhi halaman SMKSO, dan pada pagi 2.12.2009 (Rabu), genangan air lebih meluas daripada banjir yang pertama.
.
Pada kali ini, air di hadapan pintu masuk utama sekolah lebih dalam dan menenggelami Jalan Pejabat hingga kawasan pagar Pejabat Jurutera JKR. Air hampir memasuki kelas PKIBP, Blok KBSR, blok Makmal Sains Tulen, Blok Kemahiran Hidup, Stor Sukan, dan kantin sekolah, serta menggenangi sekitar Surau Al-Ikhlas. Pejabat Pengurusan dan Pentadbiran dan Bilik Mesyuarat digenangi air pada paras melebihi buku lali pada sebelah pagi hari Rabu. Dewan Warisan juga dimasuki air menyebabkan calon SPM yang menggunakan dewan itu dipindahkan ke bilik darjah di Blok PSS/Koperasi. Pada 2.12.2009 itu, calon STPM yang mengambil kertas Ekonomi 2 terpaksa mengharung air pada paras betis untuk menduduki peperiksaan di tingkat 2 Blok Tingkatan 6.
.
Pada petang 2.12.2009, hujan sudah tidak turun. Namun, pada 3.12.2009 (Khamis), air masih belum surut sepenuhnya.
.
.